Cuti sekolah ni aku mengambil peluang untuk balik kampung bersama anak-anak. Sempatla membaca satu dua majalah untuk isi masa lapang. Antaranya Solusi bulan ini mengisahkan tentang "GenerasiTerakhir Umat Manusia". Menurut penulis artikel ini, Umar M. Noor.....
Ketika kiamat makin hampir, Nabi Isa a.s yang akan turun kembali ke bumi dan orang beriman merupakan umat Islam yang terakhir. Setelah Allah S.W.T mengutus hembusan angin lembut yang menyebabkan mereka meninggal dunia, maka pupuslah generasi tauhid di muka bumi ini. Islam, Al-Quran dan akhlak mulia turut hilang dari muka bumi bersama-sama pemergian mereka. Hanya orang kafir yang berbaki di muka bumi. Semakin hari cara hidup mereka semakin jauh daripada keredhaan Allah S.W.T. Mereka tidak mempercayai Tuhan dan hidup bagaikan haiwan yang hanya memuaskan hawa nafsu. merekalah seburuk-buruk generasi muka bumi.
Sifat pertama yang makin ketara ialah,
Tak Kenal Allah - sifat yang paling ketara pada generasi terakhir dan mereka jahil tentang Allah Tuhan Yang Maha Mencipta. Mereka ateis dalam kehidupan.
Kaabah Runtuh - Kali terakhir kota suci Makkah dikunjungi oleh jemaah haji dan umrah adalah pada masa Nabi Isa a.s kembali ke bumi. Setelah mereka semua meninggal dunia, kota Makkah sepi tanpa pengunjung. Sepanjang puluhan tahun, tidak ada sesiapa datang untuk berziarah dan beribadat.Menurut Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah S.A.W bersabda, mahfurmnya:"Tidak akan terjadi kiamat sehingga tidak ada seorangpun yang pergi menunaikan haji ke Baitullah". (Riwayat Ibn Hibban dalam Sahihnya). Keadaan bertambah parah apabila orang dari Habsyah (Ethiopia) datang ke Makkah lalu meruntuhkan kaabah. Mereka mencungkil satu persatu batu-batu binaan Kaabah dengan harapan menemui harta karun dibawahnya.
Kota Berhantu - Begitu juga nasib kota suci Madinah al- Munawwarah. Kota yang sekian lama meninggalkan kerinduan di hati umat Islam ini dibiarkan kosong tidak berpenghuni. Madinah pada masa itu tidak lebih dari kota berhantu. Tiada makhluk yang tinggal disana melainkan binatang buas dan burung-burung liar.
Seperti Keldai - Darjat keimanan sering kali beriringan dengan darjat moraliti. Apabila keimanan kepada Allah merosot, maka sifat malu dan kesopanan akan turut lenyap. Budaya dan gaya hidup hedoonisme tersebar di segenap lapisan masyarakat. Kenikmatan jasadi menjadi tujuan utama hidup mereka. Dek menjadi hamba hawa nafsu, mereka bukan lagi manusia, malah lebih buruk daripada haiwan. Zina, hemoseksual dan pelbagai seks sumbang berleluasa tidak mengira masa dan tempat.
Memperlambatkan Kiamat - Segala yang diberitakan oleh Rasulullah ini pasti berlaku. Ini kerana Baginda telah melihat masa depan dan pelbagai kejadian yang bakal berlaku dengan izin Allah S.W.T. Baginda kemudiannya memberitahu umatnya bukan dengan harapan untuk menanamkan rasa putus asa, sebaliknya untuk satu hikmah yang Allah kehendaki. Muhaddith dari Syam, Syeikh Dr. Nuruddin 'Itr pernah berkata " Para penuntut ilmu ialah orang yang memperlambatkan kiamat. Merekalah yang berjasa menyelamatkan dunia ini hingga ke hari ini.
Mabuk - Apabila dunia telah semakin rosak, maksiat dan dosa telah memenuhi seluruh pelusuk dunia, Allah menjadi murka kepada semua makhluk yang berada di muka bumi. Pada waktu itu, Allah s.w.t memerintahkan malaikat Israfil untuk meniup angin sangkakala tanda kiamat. Alam semester mula hancur berkecai dan bintang-bintang berguguran. Tidak terbayang ketakutan manusia ketika waktu itu. mereka lari lintang-pukang dan memekik bagaikan orang mabuk, walhal mereka tidak mabuk. Mereka berkeadaan demikian disebabkan azab Allah yang sangat pedih.
Semoga Allah menjauhkan diri kita dan orang yang kita cintai daripada kemurkaan-Nya. Amin.
No comments:
Post a Comment